BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

SEMBANG-SEMBANG

Friday, August 19, 2011

Gembira yang Dicari

Hidup bagaikan sebuah perkelanaan
Diri ini bagaikan seorang musafir
Dalam perjalanan mencari gembira, mencari bahagia.
Seandainya gembira itu dapat digapai
sekiranya seronok itu dapat dicapai
bagaikan berada di puncak ancala bahagia.
Alangkah malang diri itu menyangkakan bertemu oasis
tatkala helah fatamorgana menipu jiwa yang dahaga.

Bumi ini dipenuhi entiti berjiwa kecil
yang mencari gembira dengan langgam kuning,
yang mencari bahagia dengan permainan dunia
di mana semua disediakan oleh musuhnya sendiri
sehingga terhijab pandangannya untuk melihat realiti
iaitu kebenaran yang indah khabar dari rupa
akibat lena dibuai kesenangan yang terzahir.

Adakah nilai gembira itu terletak pada permainan?
yang lambat laun menjemukan
terpaksa ia mencari permainan yang baru
untuk menghiburkan hati yang gersang.
Kepuasan yang dikejar,
semakin hari semakin jauh
walaupun lelah mengejar, namun tidak pernah menghampiri.

Andai saja gembira itu dicari dengan menghargai,
andai saja kepuasan itu dicapai dengan merasa cukup,
andai saja bahagia itu dikejar dengan mengingatiNya
nescaya kepuasan yang hakiki akan dicapainya
bertemulah dia dengan gembira yang dicari.

Saturday, March 26, 2011

Sabar Itu Perlu Setiap Masa

Sabar... satu perkataan ringkas yang memberi impak yang besar pada diri manusia. Sifat sabar ini berjaya 'memandu' tindakan manusia dalam kehidupan seharian. Adanya sifat sabar ini membolehkan ramai manusia hidup dalam keadaan aman damai seperti sekarang.

Dengan sifat sabar ini, seorang guru mampu terus menjadi seorang guru walaupun berhadapan dengan ragam pelajar yang bermacam-macam karenah.

Dengan sifat sabar ini, seorang ibu mampu membesarkan anak-anak yang ramai walaupun ketika kecil, anak-anak biasanya sangat nakal dan tidak mendengar kata kerana mereka masih tidak mengerti kata-kata ibunya.

Dengan sifat sabar ini, hubungan persahabatan terus berkekalan walaupun kadang-kadang dalam bersahabat, kita selalu diuji dengan sikap rakan yang mengundang rasa kecil hati.

Dengan sifat sabar ini, ramai manusia telah berjaya menjadi orang hebat kerana berjaya melalui pelbagai kesusahan ketika menuntut ilmu.

Dengan sifat sabar ini juga, suami dan isteri terus bahagia menjalani kehidupan walaupun setiap pasangan biasanya akan diuji sepanjang berada di alam rumah tangga. Kata orang, 'sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri'.

Cuba kita bayangkan situasi dimana sifat sabar ini sudah tidak ada langsung dalam diri manusia, walaupun sekelumit.

Tanpa sifat sabar, bilangan guru akan berkurang kerana ramai orang yang tidak sanggup lagi menjadi guru untuk melayan karenah pelajar yang kadang-kadang mengundang rasa marah dan sedih di hati.

Tanpa sifat sabar, anak-anak kecil akan membesar dalam keadaan yang tegang tanpa kasih sayang kerana tidak ada lagi sifat sabar dalam diri ibu bapa dalam sepanjang membesarkan anak-anak kecil yang masih tidak mengerti.

Tanpa sifat sabar, hubungan persahabatan tidak lagi seindah yang dirasakan sekarang kerana setiap orang tidak dapat bersabar lagi dengan sikap rakan masing-masing dan tiada lagi sifat sabar dalam diri yang mendidik hati berlapang dada dan saling memaafkan.

Tanpa sifat sabar, tiada lagi lahirnya orang-orang hebat kerana semua orang tidak sanggup menghadapi kesukaran ketika belajar dan berputus asa saat-saat diuji dengan kesukaran.

Tanpa sifat sabar, alam rumah tangga tidak akan bertahan lama kerana tiada lagi sifat sabar dalam diri pasangan masing-masing untuk bertolak ansur antara satu sama lain.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya. (Surah Al-Ma'aarij:ayat 5)

Ya, saya suka ayat ini. Ketika sedang menahan marah dan menahan sedih, ayat ini benar-benar memberi motivasi kepada saya. Bagaimana Allah memerintahkan kita untuk bersabar, malah bersabar dengan kesabaran yang baik.

Sememangnya dirasakan sabar ini merupakan sesuatu yang sangat perit sehingga kadang-kadang hati kita mengeluh.

" Asyik sabar je, penat dah sabar ni!"

Kita tidak perlu fikirkan lagi, mengapa kita bersabar dan berapa kali kita bersabar dalam hidup ini kerana saya ingin mengajak anda melihat apa yang dapat kita peroleh dari sifat sabar ini.

Apabila kita bersabar, kita sebenarnya dianugerahkan satu rasa yang tidak semua orang mampu merasainya, iaitu rasa ketenangan. Ketenangan ini bukan semua orang mampu merasainya melainkan orang-orang yang menjalani kehidupan mengikut apa yang Islam anjurkan. Percayalah dengan sifat sabar ini, dalam keadaan tidak sedar kita telah menyelamatkan banyak hubungan persahabatan daripada terputus, dengan sifat sabar ini kita boleh hidup aman damai seperti sekarang, dengan sifat sabar ini kita menjadi dewasa sehingga kini. Lihatlah betapa besarnya impak sabar untuk menjadi kehidupan harmoni.

Untuk anda yang sedang diuji, dalam hati ini hanya ada dua pilihan, sama ada nafsu ataupun iman. Jika menang nafsu, maka kalahlah iman, jika menang iman maka musnahlah nafsu. Kita yang perlu menilai dan memilih. Apabila diuji, kita mahu memilih nafsu untuk terus marah, atau kita memilih pilihan yang paling tepat iaitu iman dan sabar. Lihat pada impaknya, jika kita memilih untuk marah, hati kita akan dikuasai rasa marah yang menghilangkan rasa tenang, malah boleh jadi kita bertindak diluar batas fikiran kita yang akhirnya memberi kesan negatif pada kehidupan kita ketika itu. Namun, jika kita memilih untuk bersabar, insyaAllah kita diberi ketenangan untuk membantu kita mengambil tindakan yang tidak memburukkan lagi keadaan.

Saya bagi satu contoh yang mudah. Ditakdirkan anda terpaksa menjalani kehidupan dengan seorang rakan yang sangat pentingkan diri sendiri. Setiap tindakannya pasti memberi kebaikan pada dirinya dan kita sentiasa menjadi mangsanya. Setiap perbuatan dan kata-katanya sentiasa membuat kita berkecil hati. Disini, anda hanya ada dua pilihan, memilih untuk terus bersabar dan bertahan sepanjang anda menjalani kehidupan dengannya, atau anda memilih untuk bermasam muka dengannya akibat sakit hati yang menguasai diri. Jika anda memilih untuk bersabar, anda mampu menjaga keharmonian persahabatan dengannya, namun jika anda memilih untuk bermasam muka, pastinya memberi kesan yang tidak baik dalam hubungan persahabatan itu sendiri.

Namun sahabat, perlulah kita ingat bahawa kita ini manusia, kita bukan malaikat untuk terus menjadi sempurna di mata orang lain. Sabar manusia itu ada juga batasnya dan kadang-kadang orang yang paling banyak bersabar, sekali dia 'meletup' huru-hara jadinya. Oleh itu, perlunya fungsi kita meletakkan diri kita ditempat orang lain. Malah jika kita jenis yang pentingkan diri sekalipun, sebelum bertindak, kita perlu berfikir bagaimana rasanya jika kita berada ditempat orang yang teraniaya itu.

Sebelum kita bunuh orang, cuba kita bayangkan diri kita menjadi orang yang dibunuh itu.

Sebelum kita melemparkan kata-kata yang mampu mengguris hati orang lain, cuba bayangkan diri kita yang dilemparkan kata-kata itu.

Jika kita mampu meletakkan diri kita ditempat orang lain, saya yakin manusia tidak akan menzalimi sesama manusia lagi.

Sabar itu bukan perlu pada waktu-waktu tertentu sahaja, tetapi ia perlu setiap masa dan dimana jua kerana hidup kita tidak pernah lari dari diuji dengan pelbagai jenis dan bentuk ujian. Teruskan langkah dalam kehidupan ini tanpa menoleh ke belakang lagi, kerana di depan sana ada syurga menanti kita. Cubalah memahami untuk diri kita difahami, cubalah bertolak-ansur, supaya orang lain juga mudah bertolak ansur dengan kita. Janganlah sentiasa mencari salah orang lain, supaya orang lain tidak mencari salah kita. Nasihat ini untuk diri saya sendiri, dan juga untuk kamu wahai sahabat.

Saturday, February 5, 2011

MENCARI PENAWAR HATI..

DIJAMIN BERKESAN! JOM AMALKAN!

Di dalam kitab at-Tibyan fi adabi hamlatil Quran, susunan Imam an-Nawawi, beliau ada menukilkan kata-kata seorang ahli ma’rifat bernama Ibrahim Khawwash. Katanya penawar hati itu ada 5 :


1) Membaca al-Quran dengan meneliti maksudnya

2) Mengosongkan perut

3) Bangun bersolat malam

4) Bertadharruk (memohon doa) kepada Allah pada waktu sahur

5) Duduk di majlis orang-orang soleh.



Pertama : Ramai juga orang yang baca al-Quran. Tapi biasanya membaca tanpa memerhati maksud ayat yang dibaca. Sebab itulah bagi saya ramai di kalangan umat Islam yang melanggar hukum agama, iaitu kerana tidak memahami apa yang dibaca.

Kedua : Dari sudut kesihatan fizikal, pakar kesihatan bahkan Nabi SAW sendiri mengatakan bahawa perut adalah punca penyakit. Mengosongkan perut dengan erti kata berpuasa atau bersederhana ketika makan.

Saya pernah melihat kawan-kawan ketika kenduri begitu tamak mengambil makanan sampai penuh pinggan, kemudian akhirnya tidak dapat menghabiskan makanannya. Pertamanya ia tamak, keduanya dia membazir. Kedua-duanya perangai syaitan.

Ketiga : Ramai orang boleh bangun malam. Bangun sebab mau kencing, atau kerana anak menangis, atau kerana mau tonton Euro, atau kerana waktu penerbangan, atau juga kerana hendak makan sahur. Tetapi bangun untuk bersolat malam walau 2 rakaat, memang sangat berat.

Keempat : Ramai juga beranggapan, waktu sahur hanyalah untuk makan sebelum berpuasa dalam bulan Ramadhan. Sebenarnya, antara waktu mustajab doa ialah ketika waktu sahur.

Kelima : Duduk menghadiri majlis-majlis ilmu, berada bersama-sama orang baik tentu menenangkan jiwa. Ia jauh lebih mulia berbanding berada di disko, kedai kopi atau di padang bola.




Anda mahu menjadikan hati tenang daripada resah gelisah, 5 perkara di atas adalah penawarnya....

Amalkanlah, insyaAllah berkesan... SEMOGA BERJAYA!

Firman Allah : “…ingatlah, dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang”.

Sunday, January 2, 2011

HARI-HARI BULAN ISLAM PANDUAN MENURUT IMAM JAAFAR AS-SODIQ A.S.

01hb: Hari yang baik untuk bertemu pemerintah (orang kenamaan) / meminta hajat / berdagang / bertani dan bermusafir.

02hb: Hari yang baik untuk bermusafir / meminta hajat.

03hb: Hari yang tidak bagus.

04hb: Hari yang baik untuk berkahwin dan Makruh untuk bermusafir.

05hb: Hari yang tidak bagus.

06hb: Hari yang diberkati dan baik untuk berkahwin / meminta hajat.

07hb: Hari yang diberkati dan elok untuk apa yang dimaksudkan dan diusahakan.

08hb: Hari yang baik untuk meminta hajat dan Makruh untuk bermusafir.

09hb: Hari yang penuh keberkatan dan baik untuk segala hajat manusia. Dan barangsiapa yang bermusafir bakal memperolehi rezeki harta dan dia akan melihat banyak kebaikan dalam perjalanannya itu.

10hb: Hari yang baik untuk segala hajat melainkan bertemu pemerintah (orang kenamaan). Sesiapa yang lari dari penguasa akan tertangkap. Tetapi, baik untuk berjual-beli. Sesiapa yang mendapat penyakit akan cepat sembuh.

11hb: Hari yang baik untuk segala hajat, bermusafir, jual-beli, bercucuk tanam melainkan bertemu pemerintah (orang kenamaan).

12hb: Hari yang penuh keberkatan. Maka mintalah hajatmu dan berusaha nescaya akan mendapat. Bersembunyi dari pemerintah adalah lebih baik.

13hb: Hari yang tidak bagus atas segala amalan / hajat.

14hb: Hari yang baik bagi segala hajat / amalan.

15hb: Hari yang baik bagi segala hajat / amalan. Nescaya akan mendapat.

16hb: Hari yang tidak bagus.

17hb: Hari yang baik bagi segala hajat/ amalan. Nescaya akan mendapat. Baik untk bermusafir, jual-beli, bercucuk tanam, membina bangunan dan bertemu pemerintah (orang besar).

18hb: Hari yang baik bagi segala hajat. Barangsiapa yang bertemu musuh, akan mendapat kemenangan dengan Takdir Allah.

19hb: Hari yang baik bagi segala amalan. Barangsiapa yang lahir pada hari ini akan mendapat keberkatan hidup.

20hb: Hari yang baik untuk segala hajat, / bermusafir / membina bangunan / bertani / kahwin dan bertemu pembesar.

21hb: Hari yang tidak bagus.

22hb: Hari yang baik untuk berdagang / bertemu pemerintah / musafir / BERSEDEKAH.

23hb: Hari yang baik digalakkan untuk berkahwin dan apa saja perniagaan dan bertemu pemerintah.

24hb: Hari yang tidak bagus.

25hb: Hari yang tidak bagus dan BERHATI-HATI untuk setiap perkara.

26hb: Hari yang baik untuk segala hajat kecuali kahwin dan musafir. Hendaklah kamu BERSEDEKAH pada hari itu kerana ia memberikan banyak manfaat.

27hb: Hari yang baik untuk segala hajat.

28hb: Hari yang bercampur ( Baik & Tidak baik).

29hb: Hari yang baik bagi segala hajat melainkan menulis (kitab). Boleh menulis tetapi MAKRUH. Barangsiapa yang menulis kitab tidak mendapatkan idea yang baik. Sesiapa yang mendapat penyakit akan cepat sembuh dan yang bermusafir bakal mendapat harta yang banyak.

30hb: Hari yang baik bagi segala hajat / berdagang / bertani / kahwin, cepat sembuh dari penyakit, Yang lahir pada hari ini akan mendapat keberkatan, akan diangkat kedudukannya. Suka bercakap benar dan menunaikan janji.